Selasa, 30 November 2010

Dengan wajah tenang dan bersahaja dia melintas di hadapanku. Tanpa menoleh dan menyapa. Pelik dan aneh. Apakah yang terjadi? Kenapa dia berkelakuan ganjil? Aku terus mengekori pergerakannya dengan pandangan mata sehingga dia hilang di telan tembok kelas.
Seperti dia, aku terus duduk di sebelahnya tanpa bersuara. "Kenapa dengan kau hari ini Mas?" Bisik hati kecilku. Tiba-tiba dia menoleh memandang tepat kewajahku. Dia bagai mendengar bisik suara hatiku. Aku mengalah. Kuhulur senyum bagai biasa. "Kenapa Mas?". "Aku kena pergi juga Di", Katanya cukup perlahan tetapi tetap kedengaran dicuping telingaku. Mungkin kerana aku telah melihat gerak bibirnya menjadikan kata-kata itu amat jelas sekali."Kau kena pergi ke mana?".Bisu. Tiba-tiba ada debaran yang menerjah dibenak sanubariku. "Mas? Kau dengar tak aku tanya ni?". Masih juga tiada jawapan yang terlontar dari bibir yang sememangnya aku sukai akan bentuknya itu. Bibir yang begitu kecil dan cukup indah untuk dimiliki oleh seorang lelaki yang begitu tampan. Lelaki yang sentiasa menjadi intipan mata setiap dara setiap kali dia berlalu.
Dia mengeluarkan sesuatu dari poketnya dan memberikan aku sampul putih. Aku mengambil dan terus membaca. Oh! Ini rupanya yang menjadikan dia begitu walang. "Mas, pergilah. Kenapa pulak kau nak sedih?". "Aku tak mahu. Aku masih belum puas tinggal di sini. Aku masih belum puas untuk bersama kau Di". Aku terkejut dengan lontaran kata-katanya yang selamba itu. "Mas, apa maksud kau? Bukankah kau pernah kata, kau di sini hanya sementara sahaja. Apabila segala tugas ayah kau selesai kau akan kembali semula ke sana?". "Aku tahu, tapi aku pun tak tahu kenapa aku begitu keberatan untuk berpisah dengan kau". Aku ketawa sambil berkata " Mas, Mas, berpisah bukan bermakna kita putus hubungan. Kau boleh datang jenguk sitampuk manggis yang rendang ni kalau kau benar-benar rindu".
Aku memang begini. Suka membahasakan diriku 'sitampuk manggis yang rendang'! Gelaran ini pun diberi oleh dia. Sesuai dengan wajahku yang berkulit hitam manis dan tubuhku yang agak gempal pada ketinggian satu ratus lima puluh empat sentimeter. Walaupun dia lelaki yang tampan dan menawan, aku tidak kekok bersahabat dengannya kerana padaku dia seperti abangku. Lagipun dia tinggal bersebelahan dengan rumahku yang cukup kecil untuk didiami oleh tujuh orang penghuni. ( BERSAMBUNG )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan